tarbiyah & dakwah....

"Tarbiyah bukanlah segala-galanya..tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah"
(Yusuf Al-Qadrawi)

Sunday, December 12, 2010

IKHTILAT.......................


IKHTILAT (PERCAMPURAN) ANTARA DUA JANTINA (1)


بسم الله الرحمـن الرحيم ...

الحمد لله رب العالمين . والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، وعلى آله وصحبه أجمعين . أما بعد ...

MUKADDIMAH

Ikhtilat secara umumnya membawa maksud : percampuran antara dua jantina di satu-satu tempat. Ia adalah satu perkara yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ia boleh berlaku di pasar, jalan raya, ketika solat berjemaaah di masjid, ketika tawaf di sekitar Ka’bah, ketika wukuf di Arafah, ketika melontar Jamrah . . . dsb.


Ikhtilat pada asalnya dibolehkan oleh syara’, tetapi dengan beberapa syarat. Jika tidak, maka sulitlah kehidupan manusia seharian. Namun begitu, kita perlulah membezakan antara ikhtilat yang dibenarkan dan khulwah yang diharamkan.


Ikhtilat, sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi, hukum asalnya adalah mubah (harus) bagi memudahkan kehidupan manusia. Tiada halangan padanya kecuali jika ia membawa kepada perkara yang haram.


KHULWAH

Sementara khulwah pula, ia bermaksud : percampuran antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (boleh dikahwini) di sesuatu tempat tanpa ditemani oleh mahram perempuan tersebut. Hukum asal bagi khulwah ini adalah HARAM, kecuali pada perkara yang dorurat. Tujuannya adalah untuk mengelak dari berlakunya fitnah.


SYARAT-SYARAT YANG PERLU DIPENUHI


Seterusnya, marilah kita bincangkan pula syarat-syarat yang membolehkan ikhtilat :

1.Hendaklah perempuan tersebut memakai hijab dengan sempurna (Al-Hijab Al-Kamil), dan bagi lelaki pula, perlu menutup aurat.






Firman Allah swt :


59. Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya (2) ke seluruh tubuh mereka". yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, Karena itu mereka tidak di ganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (3).

2.Pihak perempuan perlu menjauhi dari memakai minyak wangi atau perhiasan yang dapat dilihat walaupun telah memakai hijab.


Firman Allah swt :
31. . . .dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka. . .(4)

Sabda Rasulullah saw :
(( أَيَّمَا امْرَأَةٌ اسْتَعْطَرَتْ ، فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لَيَجِدُوْا مِنْ رِيْحِهَا ، فَهِيَ زَانِيَةٌ ))
Maksudnya : Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian, lalu dia berjalan di hadapan sesuatu kaum dan kaum tersebut menghidu wangiannya, maka dia telah berzina (5).

3.Hendaklah terhindar dari berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi, seperti berjabat tangan.


Firman Allah swt :
30. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
31. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya . . .(6)


Ini kerana, melihat perempuan yang ajnabi telah dilarang, apatah lagi bersentuhan dengannya, lebih-lebih lagi dilarang. Inilah yang telah disepakati oleh ulama’.


4.Hendaklah bebas dari memperkatakan sesuatu yang dapat merangsang nafsu syahwat.

Firman Allah swt :
32. . . . Maka janganlah kamu tunduk(7)dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya(8) dan ucapkanlah perkataan yang baik (9).


Bahkan, digalakkan supaya memendekkan percakapan. Cukuplah sekadar yang sepatutnya dan mengikut keperluan, disamping menjaga adab-adab.


5.Tidak boleh ada tujuan melihat ajnabi tanpa keperluan, seperti perempuan memandang lelaki tanpa ada apa-apa hajat dan begitu juga sebaliknya.


Firman Allah swt :

30. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".

31. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangannya, dan kemaluannya . . .(10)

6.Jika sekiranya perlu melihat, maka janganlah diiringi oleh nafsu syahwat. Ini kerana, ia akan membawa kepada mafsadah (kecelakaan) dan juga diharamkan oleh syara’.

Sabda Baginda saw :
(( لاَ تُتْبَعْ النَّظْرَةُ النَّظْرَةَ ، فَإِنَّ الأُوْلَى لَكَ وَالآخِرَةَ عَلَيْكَ ))
Maksudnya : Janganlah kamu susuli satu pandangan dengan pandangan yang lain. Pandangan yang pertama itu untuk engkau (tidak berdosa), dan yang kedua tidak(iaitu engkau akan dihukum atas pandangan kali kedua tersebut) (11).

7.Pihak lelaki dan perempuan mestilah cuba untuk memendekkan masa percampuran / ikhtilat tersebut tanpa perlu memanjangkannya. Ini kerana, kebanyakan ikhtilat itu membawa kepada mafsadah, maka adalah sewajarnya kita menjauhi dari terjatuh ke dalam mafsadah tersebut.

Sabda Rasulullah saw :
(( . . . كَالرَّاعِيْ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمَى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ . . . ))
Maksudnya : . . . sebagaimana pengembala yang mengembala di sempadan/batasan, dikhuatiri akan meragut di luar dari sempadan. Setiap raja itu ada sempadan, dan sempadan Allah itu adalah perkara-perkara yang haram . . . (12)


8.Perlu dipastikan bahawa ikhtilat tersebut membawa lebih banyak kebaikan dari keburukan.

Maka apabila telah sempurna syarat-syarat yang telah ditetapkan, HARUS lah ikhtilat tersebut. Jika tidak, ia dilarang sama sekali. Bukan kerana hukum asalnya haram, tetapi kerana tidak mencukupi syarat.




KHULWAH YANG DIHARUSKAN

Khulwah pula adalah : satu percampuran antara lelaki dengan perempuan yang ajnabi, di suatu tempat yang jauh dari pandangan manusia. Maka bagi khulwah ini, hukum asalnya adalah HARAM. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw :
(( لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ ))
Maksudnya : Tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga, duduk di antara mereka (13).

Namun begitu, bagi kes-kes yang tertentu yang dianggap dorurat atau ada kepentingan-kepentingan tertentu yang mana sudah tidak boleh dielak, ia dibenarkan (mubah). Seperti doctor yang merawat pesakit di bilik pesakit jika mahram kepada pesakit itu tidak mampu hadir ketika rawatan tersebut.



PENUTUP
Semoga sedikit usaha ana ini diterima oleh Allah swt sebagai amal soleh amin.
Terjemahan yang dibuat bukanlah secara bulat-bulat, tetapi ana menggunakan uslub
bahasa yang lebih sesuai supaya mudah difahami.


ما أصابك من حسنة فمن الله ، وما أصابك من سيّئة فمن نفسي . وصلّى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين .
Wallahu’alam.


____________________________
(1) Buhusun Wa Fatawa Fiqhiyyah Muasiroh oleh Dr. Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Berasal dari Syria, dan sekarang bertugas sebagai pensyarah kuliah syariah di Universiti Damsyik. Mendapat BA, MA dan PhD dari beberapa university sekitar Negara Arab.
(2) Jilbab ialah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepala, muka dan dada.
(3) Surah Al-Ahzab : 59
(4) Surah An-Nur : 31
(5) Hadis riwayat Tarmizi, An-Nasaie, Abu Daud, Ahmad dan Ad-Darimi
(6) Surah An-Nur : 30-31
(7) yang dimaksud dengan tunduk di sini ialah berbicara dengan sikap yang menimbulkan
keberanian orang bertindak yang tidak baik terhadap mereka.

(8) yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah: orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina.
(9) Surah Al-Ahzab : 32
(10) Surah An-Nur : 30-31
(11) Hadis riwayat Ahmad dan Ad-Darimi
(12) Hadis riwayat Muslim
(13) Hadis riwayat Tarmizi

SENARAI RUJUKAN
Al-Quran Al-Karim
Kamus BA-BM
Buhusun Wa Fatawa Fiqhiyyah Muasiroh oleh Dr. Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi

No comments:

Post a Comment

Free HTML Blog 4u